Sebelum keluar tu klik2 lah iklan ni dulu ya !!

Sunday, August 28, 2011

Ucapan selamat hari raya Aidilfitri buat semua sekali.



Di kesempatan ini sempena menyambut kemenangan kita berpuasa selama sebulan dan sempena merayakan Aidilfitri yang mulia ini  aku ingin sekali menyusun sepuluh jari memohan ampun dan maaf dari hujung rambut ke hujung kaki kepada semua kawan-kawan blogger , silent reader, kakak-kakak, adik-adik, abang-abang, pakcik makcik serta atuk & uwan.

Jika selama aku berbloging ini ada di antara tulisan dan komen aku yang menyentuh perasaan kalian semua samaada secara sengaja ataupun tak tersengaja aku memohon ampun dan maaf.... semoga kita semua sentiasa di rahmati di dunia dan akhirat serta di terima semua amalan wajib dan sunat kita sepanjang ramadhan ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DAN SELAMAT PULANG KE KAMPUNG HALAMAN.


SALAM UKHWAH

Saturday, August 27, 2011

Projek mengguli kuih raya bermula lagi.


Salam Ramadhan yg ke 27 hari......!!!


Jangan terkezut hari ni pepagi buto lagi aku dah terconggok depan lappy ni untuk update blog.
Hari ni aku dah start cuti dah dan hari ni jugak aku nak mengabihkan projek mengguli biskut raya yang terakhir aku.
Petang kang lepas oven aku sejuk aku akan bertolak balik ke kampung untuk beraya.




Biskut susu ni biskut pertama yg aku buat hari ahad minggu lepas



Almond london aku ni pun buat ahad minggu lepas....tapi rupa bersememeh sikit pasal aku guna sudu salut coklat tu lenkali tak mo pakai sudu dah....... tapi rasanya ada kelassssss hokeeeeyyyy sedap dan rapuh gitewww.... sok sok aku tepek resepi kat MAA tu ari ni tak sompek.



Yang ini balance almond yg belum tutup aurat lagi..... ada sesapa nak tolong pakaikan baju warna cokelat dia tu ?????


Separuh yang aku dah siap masukkan dalam botol untuk di agih-agihkan kerumah mak aku dan mak mertua.

Aku bawak balik kampung sejenis dua je sok sok aku balik sini  banyak jenis dan patern kuih lak yg aku dapat...yelah aku cilok adik aku punya kuih...... adik aku cilok lak aku punya kuih tak banyak gituuuuu ??
Bila semua dah balik bekerja kuih-kuih yang tinggal tak terhabih lak kat mak abah aku berdua je lagipun orang tua tu ada diabetes jadi untuk mengelakkan berlaku pembaziran yg kritikal aku adik beradik akan memulakan sesi tapau menapau dan cilok mencilok kuih yang tinggal  tu.


Macam nak balik ke sabah haa!!


Kampung tak le jauh bebenor tapi beg kussss semangattttt !!!
Korang nampak tak ado beg bosar ado beg kocik ado gak beg sekolah.
Kami akan berada di kampung selama seminggu jadi HARUS lah baju itu mencukupi untuk di pakai lagipun balik dua umah sekali gusssss.
Princess aku lak sentiasa adooooo joooo kojo sekolah ea kona gak bawak balik beg sekolah tu......sambil beraya sambil belajar ni kalau tak lepas ke menara gading sok tak tahu lah aku nak cakap apa sok ni.

Okey setakat ni dulu aku nak start buat biskut dahlia jap lagi ni.
Sebelum balik kampung kang aku kena setelkan banyak hal termasuklah beli siap2 contact lens aku, bayar bil tenet sok balik sini dah seminggu tak pat lak aku online pasal tak bayar bil. 
Bayar duit umah dan keta aku sekali.
Pastu nak jumpa Ong produa setelkan keta baru aku tu  pasal aku suruh dia simpan dulu keta aku kang aku pakai keta baru beraya ada gak yg cakap aku berlagak.... pas raya nanti baru aku ambik keta tu.... bagi keta baru rest cukup-cukup dalam showrom tu dulu !!

Pastu nak pergi shoping sikit....sikit jeeeee tak banyak hehehe!!


CN : Tak sabau nak makan lomang paneh dgn rondang.....nyumm..nyummm..nyummm !!!!



SALAM UKHWAH

Friday, August 26, 2011

Sempurnakah Ramadhan kita


Salam Jumaat hari penghulu hari....!!!



Dalam kesibukkan kita untuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan ditambah dengan saki baki Ramadhan yang masih tinggal tidak kurang beberapa hari lagi, adakah pernah terdetik di hati kita untuk bertanya sama ada Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini telah benar-benar mendidik jiwa kita untuk menghadapi 11 bulan yang akan mendatang.


Pernahkah kita tertanya apakah Ramadhan kita telah diterima dan segala dosa-dosa kita telah diampun oleh Allah s.w.t. Dalam pada itu apakah saudaraku sekalian masih mengingati tiga doa yang diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah didoakan oleh Jibrail A.S.

Ketika Nabi S.A.W menaiki tiga anak tangga mimbar baginda berhenti di setiap anak tangga dan mengucapkan amin di ketiga-tiga anak tangga tersebut. Para sahabat lalu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah diaminkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya :

Nabi S.A.W menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?"

Baginda S.A.W menjawab: "Jibril A.S datang kepadaku, dan berkata: "Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin," Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut "amin".


Jibril berkata lagi: "Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin." Lalu aku pun berkata: "Amin".

Berkata Jibril lagi: "Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin." Lalu aku pun menyebut: "Amin."


Salah satu doa yang diaminkan ialah berkenaan sesiapa yang tidak merebut peluang untuk mendapat keampunan Allah S.W.T pada bulan Ramadhan maka dia antara orang yang akan rugi kerana akan dimasukkan ke dalam Neraka Allah S.W.T.

Apakah kita di antara golongan manusia yang telah diberikan peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini termasuk di dalam doa yang diaminkan oleh baginda S.A.W.

Oleh itu saudaraku sekalian ingatlah doa yang telah diaminkan oleh Rasullulah s.a.w. ini dan rebutlah peluang yang masih berbaki, tidak berapa hari ini untuk mencari keampunan Allah S.W.T. Raya, raya juga, tapi jangan lupa untuk mencari peluang yang masih tinggal. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir buat kita.





SALAM UKHWAH





Wednesday, August 24, 2011

~ WORDLESS WEDNESDAY~






CN : Agak-agaknya cukup tak nak wat rendang makan pagi raya sok ???



SALAM UKHWAH


Tuesday, August 23, 2011

Baaaaa caaaak !!!!...:D

Salam Ramadhan ke 23...!!
Anda masih di blog RKTS.... jgn terbalikkan komputer anda !!

He he he........
Tukar header baru doh hambooo!!

Mana aci kan......bukak blog orang ni dah tukar header raya...bukak blog orang tu lak pun tukar header raya.
Mana aku leh tahan.... sumo dah tukar ucapan raya siap ketupat bagai aku nak jugaaaaakkk !!

Tapi aku tak dapat le nak letak ketupat lemang bagai kang hilang lak wajah-wajah kesayangan hambo tuuuu !!
Tu semua ahli-ahli lembaga pengarah rumah kecik tiang seribu tu.
Gambar masih berlatar belakangkan rumah ayahanda bonda.
Rumah yang menyaksikan pembesaran kami tujuh beradik.
Suka duka tangis ketawa semuanya ada dalam rumah tu.

Kalau dulu waktu kecik-kecik rumah ni sekadar riuh dengan gelak tawa kami tujuh beradik sahaja.
Tapi kini setiap kali tibanya lembaran rumah itu bertambah riuh lagi dengan penambahan anggota keluarga baru.
Hadirnya mereka-mereka yang bergelar menantu dan cucu pada emak dan abah.
Ipar duai serta anak buah pada kami 7 beradik.


Dan...... tahun ini kami bertujuh akan berkumpul di teratak ayahanda bonda ini bermula malam raya hinggalah ke pagi raya dan beberapa hari selepas itu nanti.
Tahun ni raya emak dan abah bertambah-tambah meriahlah dengan kepulangan anak ,menantu dan cucu2 yang jauh dan dekat.

Header raya ni akan tertepek kat sini sampai ujung syawal nanti .......harap maklum !!

CN :  Aku pun nak ikut beratur gak dgn bdk2  kecik  ambik wit raya kat pak aji dgn mak hajjah tu nanti .. :)


SALAM UKHWAH

MEE REBUS





Mee rebus ni juadah berbuka minggu lepas...aku buat sama hari dengan buat kuih ketayap ari tu... tapi sekarang baru nak update dalam blog ni.... dah dekat-dekat nak raya ni lagi sibuk dengan macam-macam kerja nak buat.... hari minggu hari tu aku dah start buat biskut raya dah... dalam satu hari tu dapatlah 2 jenis biskut.... yang tu nanti aku update kemudian pasal gambar belum ambik lagi..... sekarang mood nak ambik gambar dah semakin kurang dah...... lepas je masak juadah berbuka terus siap hidangkan atas meja... malas betul nak ambik gambar pasal dah penat tu yang kurang sangat gambar makanan sejak bulan puasa ni sedangkan masaknya hari-hari.

Resepi mee rebus ni aku dapat dari blog Jurnal resepi bdaria..... sesekali nak ubah selera gak makan mee rebus...asyik nasi je waktu berbuka jemu gak kan?




BAHAN-BAHANNYA:
2 ketul ayam - dipotong kecil
1/2 - 1 inci halia
1 sudu makan lada hitam - ditumbuk
6-8 ulas bawang putih-dihiris
2 ulas bawang merah - dihiris
4 batang sawi
1/2 batang karot
1 biji tomato - dipotong 6
3-4 ketul fish ball
2-3 ketul fish cake
Udang @ sotong - ikut suka kalau nak masuk
taugeh - kalau suka
telur - kalau suka
Mee kuning
air secukupnya
garam secukup rasa

Cili padi
seulas bawang putih
garam
kicap manis

CARA-CARANYA:
1. Tumis bawang merah dan bawang putih sehinggan naik bau. Masukkan air, lada hitam, halia, ayam dan renehkan dengan api yang sederhana.

2. Masukkan fish ball, fish cake, karot, tomato, udang, sotong dan sawi. Pecahkan telur dan bubuh garam.Biarkan merenih sebentar sebelum tutup api.

3. Basuh mee dan celur dengan air panas sebentar. Tapis dan hidangkan

4. Tumbuk cili padi + garam + lada putih hingga lumat. Masukkan kicap manis.

5. Hidangkan bersama taugeh yg telah dicelur.




Monday, August 22, 2011

Dah buat sekut raya ke belum ????


Salam Ramadhan hari yg ke 22......



Semalam hari minggu projek aku membuat sekut raya.
Orang lain terutamanya yg surirumah tu dah tentu dah berderet-deret sekut raya dia kan ?
Yang aku ni baru le nak mula semalam.
Itu pun sempat gak buat 2 jenis sekut raya.

Setiap tahun aku kenalah menguli biskut lebih sikit.
Sebalang untuk setiap jenis untuk mak aku ....... sebalang mak mertua dan berbalang-balang lah pulak untuk rumah aku sendiri.

Disebabkan hari ni dah kerja kenalah stop dulu buat biskut .
Hari sabtu nanti baru sambung balik.
Awal-awal puasa hari tu tak nak buat banyak jenis nak wat sikit jelah.... tapi bila pergi ke blog orang lain tengok banyak lak resepi kuih yang senang dan simpel... ni semua yang nak buat aku menambah-nambahkan lagi bilangan biskut ni.

Korang macam mana..... plan berapa jenis biskut nak buat ?
Agak-agaknya penuh tak meja kopi kat ruang tamu tu nanti dengan sekut raya korang ?


CN : Terbau-bau lak bau biskut yg aku  buat semalam...ermmmmmm .


SALAM UKHWAH

Friday, August 19, 2011

LAILATUL QADAR

Salam Jumaat hari penghulu hari...!!!

"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan. Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir. Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir." - HR Ahmad



Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa yang dikurniakan kepada umat Muhammad SAW lantaran kebimbangan Baginda terhadap usia umatnya yang semakin pendek. Bagi mengatasi keraguan ini, maka Allah SWT menurunkan malam Lailatul Qadar yang membawa pahala seperti beribadat selama 83 tahun. Ini bagi menyamakan jarak masa umat terdahulu dengan umat Baginda pada hari ini dalam mengerja dan mendapatkan pahala beribadat.

Suatu masa Baginda hendak memberitahu kaumnya mengenai tarikh Lailatul Qadar yang tepat tetapi terjadi satu pergaduhan di antara dua orang muslim. Jelas Baginda, maka itu rahmat (tarikh Lailatul Qadar) telah diambil kembali. Sesungguhnya perbalahan kerapkali menyebabkan kita kehilangan nikmat dan rahmat. Justeru, Baginda menyarankan kepada kaum muslimin agar menghubungkan silaturrahim kerana ia adalah amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah. Silaturrahim juga akan meningkatkan iman di dalam sesuatu kaum.

Pada zaman Rasulullah SAW, ramai ulama dan sahabat menyambut Lailatul Qadar dengan tekun mengerjakan ibadat. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah leka dalam hal ini walaupun Baginda telah dijanjikan tempat di sisi-Nya. Malahan Baginda khusyuk beribadat sehingga kakinya bengkak tanpa memikirkan kesakitan yang ditanggung.

Kita sebagai umatnya juga harus mengikuti contoh ini. Tidak sepatutnya kita memilih untuk mengikuti sunnah Baginda yang dirasakan mendatangkan faedah yang besar kepada kita sahaja kerana sememangnya semua sunnah Nabi memberi faedah. Namun, apabila memperkatakan hal ibadat, jarang sekali kita mahu mencontohinya. Bak kata pepatah tepuk dada, tanya selera.

Perbanyakkanlah amalan pada Malam Lailatul Qadar seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bertahmid. Dan ia sesungguhnya boleh ditemui jika kita dapat membezakan malam tersebut dengan malam-malam sebelumnya.


Rasulullah SAW telah menjelaskan di antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah:

· Malam yang sepi, tenang dan bercahaya;

· Tidak panas atau sejuk (sederhana) seolah bulan memancar terang;
· Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh;

· Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya, seperti bulan mengambang



Tanda ini amat jarang ditemui, kecuali tanda terakhir yang pernah terjadi. Andai bertemu dengan malam ini, maka ucapkanlah doa berikut yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosaku. Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."


Pada malam ini juga Jibrail a.s akan turun ke bumi dan mengarahkan setiap malaikat berkunjung, memberi salam dan berjabat tangan dengan mukmin yang sedang beribadat di rumah mereka. Namun malaikat-malaikat ini tidak akan mendatangi mana-mana rumah yang di dalamnya ada haiwan-haiwan peliharaan yang haram, penzina, juga rumah yang di dalamnya tergantung perhiasan atau gambar haiwan dan manusia. Justeru, awasilah perlakuan kita dan sentiasalah berusaha meningkatkan iman, terutamanya dalam Ramadhan ini.



Semoga bersua dengan Lailatul Qadar dan wassalam.




SALAM UKHWAH

Berbuka puasa

Salam Jumaat hari penghulu hari...!!

"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim



 
Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa. Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa. Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat Maghrib. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:

"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu." -HR Bukhari Muslim


Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa. Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu. Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·


- "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu."

(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)


- "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu."

(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)


- "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim."

(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami. Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)


- "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii."

(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)



Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih. Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka. Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT. Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita. Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.


Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh. Masalah tidak akan timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum ianya menjadi lebih besar.

Selamat berbuka dan wassalam.



SALAM UKHWAH

Wednesday, August 17, 2011

~ WORDLESS WEDNESDAY ~




CN :  Hari ini 17 Ramadhan bersamaan 1432H adalah hari Nuzul Al-Quran.

SALAM UKWAH:

Tuesday, August 16, 2011

Bila lauk itu dah berbuih-buih........

Salam ramadhan untuk hari ke 16..!!

Okeyy...ari ni sejak pagi aku banyak masuk blog orang.
Dari blog masak-masak sampailah ke blog personal.
Cuma blog politik dengan gossip artis je aku tak jenguk !

Ramai gak blogger bercerita pasal makanan di bazar ramadhan tu termasuk harga yang mahal serta kualiti rasa yg pelbagai-bagai.
Maksud aku pelbagai-bagai ni ialah ada yang sedap dan ada yg rasa eeeiiiii...!!!
Yang menjual makanan dah basi pun ada !!!!!

Okeylah......sejak hari puasa yang pertama hinggalah  puasa ke 6 iaitu hari sabtu minggu yang lepas aku kerap jugaklah beli kuih muih di bazar ramadan.
Aku beli satu dua jenis lauk yang memang aku tak masak kat umah pasal tak semua rakyat jelata nak makan.
Contohnya gulai siput sedut , ketam dan jugak paru sambal.



Nak di jadikan citer hari sabtu puasa yg ke 6 tu aku beli  ayam masak paprik kat gerai yang sama.
Mengada di beli padahal ayam ada setengah ekor g kat umah mintak di masak dalam kuali tu.
Kunun-kununnya tak payahlah nak masak lauk pasal dah beli gulai siput sedut belilah sekali ayam paprik tu.
Kang hubby dengan anak bujang ada lauk siput aku dengan anak dara aku tak berlauk lak.
Balik umah masak nasi dengan sayur jeeee...!!

Lauk-lauk tu waktu berbuka memang okey lagi rasanya tapi malangnya sewaktu sahur ayam tu dah berbuih-buih dah.....padahal ayam paprik tak mengunakan santan pun yg boleh menyebabkan ia cepat basi !!!
Terus je aku buang lauk tu.... kang aku anak beranak lak yg berbuih-buih mulut.

Sebelum tu lauk yang di beli kat gerai yang sama memang boleh dimakan sampai ke sahur.
Tapi hari yang ke 6  berpuasa tu lauk tu dah menunjukkan tanda-tanda si peniaga mula melakukan penjualan makanan hari yg sebelumnya ( korang leh paham tak maksud aku tu ).

Jadi start hari minggu iaitu puasa yang ke 7 aku mula membeli lauk pauk mentah di pasar sebanyak-banyaknya untuk stock aku anak beranak selama seminggu.
Pastu aku buat lagi kuih muih berbuka hampir setiap hari walaupun hari-hari aku kerja balik pukul 5 ptg.
Soal penat aku tolak ketepi yang paling utama aku anak beranak senang hati nak makan.

Di tambahkan lak lagi kes keracunan makanan hingga menyebabkan kematian yang buat aku seriau nak beli banyak-banyak makanan kat bazar tu.

Tak semua peniaga macam yang aku citer ni ada gak yang benar-benar jujur dalam berniaga.
Tak mahu menganiayai pembeli yang akan memakan jualan makanan mereka tu.
Tapi dalam segelintir itulah yang merosakkan imej penjual-penjual lain di bazar ramadhan.

Masuk hari ni dah 10 hari dah aku tak beli makanan di bazar pasal sekarang pun dah 16 hari dah kita berpuasa.
Bagi aku kalau nak selamat merasa juadah di bazar tu hanya hari pertama atau kedua puasa je pasal dua hari tu mereka akan menjual makanan yg betul2 segar dan baru di masak.
Kalau dah banyak hari ni .......haaa sendiri mau ingatlah!!!


CN :  Tengah berkira-kira nak berbuka mee goreng dengan nasi goreng ikan masin pattaya lak ni!!



SALAM UKHWAH

Monday, August 15, 2011

Macam malas jeeee nak raya tahun ni .

Salam ramadhan ke 15 semua kengkawan...!!

Dah setengah bulan dah puasa...pejam celik...celik pejam...kita akan sambut raya dalam 2 minggu lagi.
Mungkin dengan peningkatan usia ( ayat macam tualahhhhh sangattt ) aku tak rasa seronok sangat macam yg sebelum ni.

Baju raya anak-anak semua dah siap sedia dalam almari dah.
Tapi baju kurung untuk hari raya pertama aku beli pun belum lagi....!!
Rasa-rasanya macam malas jeee nak beli yg baru pasal baju kurung tahun lepas pun banyak yg jarang berpakai.

Hajat di hati nak mengecat umah ..nak tukar langsir....sejak sebelum puasa hari tu lagi.
Tapi sampai 15 ramadhan dah satu benda pun aku tak buat lagi.
Kuih raya pun nak buat 1 atau 2 jenis je nanti.... tu pun kalau rajin buat biskut.
Kalau tak aku bantai buat kek je malam raya !!

Tak de semangatlah nak raya tahun ni.
Buang tebiat ke hapa aku ni !!!!


CN : Nak ucapkan terima kasih kepada semua yg baru follow dan masuk blog  RKTS  dan  MAA  aku ni.



SALAM UKHWAH

Friday, August 12, 2011

Kelebihan sahur & tamar.

Salam Jumaat hari penghulu hari....!!

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan Muslim


credit

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.

Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:

· Menuruti sunnah;

· Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;

· Menambah kekuatan untuk beribadat;

· Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;

· Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan

· Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.


Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.

Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.





SALAM UKHWAH







Wednesday, August 10, 2011

~ WORDLESS WEDNESDAY ~






 



CN : Cik yahhhh......jgn mare naaa.... : )


SALAM UKHWAH

Tuesday, August 9, 2011

0.25 pun 0.25 lah janji ado dari takdoooo :))

Dah 9 hari berpuasa......
2 minggu lagi sibuk lak nak wat kuih raya.
Aku dah plan dah kuih apa yg nak di buat...korang lak macammano ????




Okey sepatutnya aku postkan entry ni minggu lepas masa aku sain surat persetujuan terima bonus 0.25 tu .
Tapi aku terlupa lak..... bila hari ni tengok penjawat awam dapat bonus raya baru aku ingat nak tulis entry ni kat sini.
Sebelum tu tahniahlah ya pada semua blogger2 dan silent reader RKTS yg keja gomen yg dapat bonus raya tahun ni.
Cerahhhhhh anak bulan raya tu ye takkk... hehehe !!!

Abah aku pun rasa gaklah  pasal dia pesara gomen.....Alhamdulillah ada can den mintak sup tulang lobih sikit nanti..!!! : D

Tapi bagi aku dan semua malay staf kat company aku ni agak kurang mengembirakanlah sikit pasal tahun ni adalah tahun pertama company ni di ambil alih oleh chinese singapore.
Sebelum ni semua urusan syarikat  dalam tangan chinese tempatan dan kami semua mewah setiap kali tiba bulan syawal.

Mana taknya tetiap tahun kami akan dapat 2 kali bonus.
Sebelum hari raya pose kami semua akan dapat bonus pertama dari hasil keuntungan syarikat pasal kami buat stock take bulan Jun setiap tahun.
Kemudian sebelum chinese new year pula kami akan dapat pulak bonus ke dua untuk bonus tahunan yg bergantung pada prestasi kerja masing-masing.

Macam tahun lepas syarikat untung banyak dan kami semua tak kira malay ke cina ke india ke bengali ke hapa ke semuanya dapat bonus 2 bulan gaji sebelum raya pose.
Sonyum sampai ke kepalo kawan -kawan den termasuklah den sekali.
Tambah lak dongan gaji ayoyoooo..... berayo sakan wa cakap luuuu.

Tapi bila singapore beli dan ambil alih syarikat ni sejak penghujung tahun lepas semuanya dah berubah.
Kami hanya akan dapat bonus setahun sekali jeeee...... sob sob sob :(

Di atas rasa simpati senior2 manager yg dah tahu kami semua ni dah biasa ada bonus sejak sekian lama mereka berusaha dapatkan untuk kami sebelum raya.
Dan hasilnya 0.25 dari bonus sebulan gaji untuk January akan datang akan di beri pada semua malay2 staf sahaja .
Bonus kan di beri minggu depan.

Walaupun nilainya tak sebanyak yg kami dapat seperti tahun-tahun lepas tapi adalah jugak dari tak ada langsung.
Nak banyak kena tunggu balancenya Januari nanti.
Itu pun kok umur panjang !!


CN :  Untunglah aku tak habiskan bonus yg tahun lepas tu.


SALAM UKHWAH:










Monday, August 8, 2011

Kalau hari bekerja kena macam ni aku boleh pengsannnn !!


Salam ramadhan hari ke 8 buat korang semua.......!!

Tahun ni punya puasa senang je nak kira kan pasal jatuh satu hari bulan.
Jadi hari ni 8 hb dan dah 8 hari jugak kita  raya.......eh eh dah puasaaaaa !! ( cepat benau ko nak raya cik puan oiii )

Okey memandangkan semalam hari minggu dan hari cuti bagi semua warga kerja seluruh Malaysia termasuklah aku ni jadi aku hambik kesempatan ke pasar dan pasaraya untuk membeli belah lauk pauk dan barang dapur yang dah tinggal secoit tu.
Memandangkan pulak semalam jugak aku tak bekerja jadi banyaklah permintaan dari rakyat jelata dalam rumah ni.


Si ayah ea nak makan kuih getas.
Si anak bujang ea nak makan kuih sago mata ikan tu.
Si anak dara lak nak makan kek oreo DAN.....
Aku sendiri dah lama teringgin nak makan nasi ayam and the geng.

Jadinya semalam lepas je ke pasar berdondang sayanglahhhhhh aku kat dalam dapur tu.
Melaksanakan permintaan isi rumah yang tak ramai ni.
Sib baik gak tak ramai kalau ramai tak tahulah apa lagi yg aku kena masakkan !!
Sib baik jugak hari cuti kalau hari keja aku leh pengsannnnnn !!!
( banyak botoi sib baik ko kan ! )

Bila time berbuka penuh kat atas meja tu.
Tak ada lauk beli dan kuih beli semuanya hasil air tangan aku sendiri .
Sampaikan aku sendiri pun tak tahu mana yg aku nak capai dulu.....
Ada nasi ayam dan kawan-kawannya.....ada kek..ada kuih sago..... ada kuih getas !!

Sib baik ompek beranak tak pengsan kekenyangan lepas berbuka malam tadi !!!



CN : Pssttt....pas isyak larat lagi jalan-jalan kat bazar ramadhan yg jual baju2 dan aksesori raya tuuuu !!!

SALAM UKHWAH

Friday, August 5, 2011

~ EMPAT TUNTUTAN ~

Salam Jumaat hari penghulu hari...!!!


"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183


Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.

Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.


Selamat beribadat dan wassalam.




SALAM UKHWAH

~ AWAL AL-MUBARAK ~

Salam Jumaat hari penghulu hari...!!!


"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."



Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:


"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith


Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan.

Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.

Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya;

Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.




SALAM UKHWAH

Thursday, August 4, 2011

Lain yang di cari lain lak yg dapat.


Salam ramadhan yg ke 4 hari ini...

Sekejap je kita dah melangkah ke hari yg ke 4 kan.... rasanya macam baru semalam je kita dengar perisytiharaan berpuasa tu hari ni dahhhh ompek ari dahhhh !!!

Sejak dari hari pertama puasa hari tu PRINCE aku sibuk nak makan gulai siput sedut .
Kebiasaaannya time bulan puasa ni je dapat makan menu macam ni pasal ada ramai orang yg menjual lauk pauk kat bazar ramadhan.
Gulai siput sedut ni memang aku tak pernah masak dan malas nak masak pasal aku tak suka makan lauk ni.

Lagipun bagi menu-menu yang memang bukan feberet semua rakyat jelata dalam rumah ni memang aku malaslah nak masak.
Kang aku dah bersilat berkuntau bagai kat dapur tu tapi yg makan sorang berdua je pastu aku kena lak masak menu yg lain lak untuk orang yg tak makan menu tersebut tu.
Nak nak lak lagi bulan puasa ni balik je keja  memang tak laratlah aku nak bersilat masak sampai 3 4 jenis lauk macam hari biasa tu.

Contohnya macam gulai daging campur rebung aku suka makan TAPI hubby & anak2 tak suka jadi jawapannya boli jo!!
Gulai siput sedut tu hubby & PRINCE suka TAPI aku dan PRINCESS lak tak suka pun boli gak.
Ketam pulak PRINCE suka TAPI aku dan hubby kurang suka dan PRINCESS tak suka langsung pasal susah nak makan.
Paru pun feberet aku TAPI yang 3 beranak tu tak pandang langsung pun kono boli dah siap masak gak.

Di bulan-bulan puasa ni lah yang senang nak jumpa lauk pauk tu semua... beli yg dah siap je untuk makan sorang .
Bab rasanya tu ikut nasiblah kan !!

Jadinya kat rumah aku ni lebih banyak masak ikan , ayam ,sotong dan udang yg akan aku pelbagaikan masakannya setiap hari.




Petang semalam PRINCE masih lagi tercari-cari gulai siput sedut tu tapi masih tak ada.
Akak yang berniaga tu cakap bekalan tak sampai lagi dia pun tertunggu2 siput dengan kerang sekarang ni.
Memang aku bagi peluang untuk PRINCE pilih lauk apa yang dia nak makan.
Pilih punya plih dia ternampak lak pulak ketam bersos terus je mintak aku belikan yg itu.

Aku beli 4 ekor lapan blas hinggit aku kira berbaloi jugaklah pasal aku tak perlu nak penat2 masak ketam tu kat umah.
Rasanya pun sedap jugak balik umah aku cuma masak gulai kacang campur udang je buat penambah lauk.
Masak tetap gak masak itukan  SATU KEMESTIAN !!!
Waktu berbuka PRINCE balun 2 ekor ketam tu selebihnya tu aku dan hubbylah yg menghabiskan.

Kuih muih tu memang beli je lah setakat satu dua jenis nak mengelakkan dari membazir.
Aku sering ingatkan anak-anak aku kita ni berpuasa sebulan bermakna ada 30 hari untuk kita merasa pelbagai jenis kuih muih.
Tak perlu nak beli banyak-banyak dalam satu hari lepas tu tak habis makan.

Cik tong bin sampahhhhh gak yg konyang nantiiiiiii!!


CN : Amalkan sikap berjimat cermat di bulan puasa ni ya anak-anak .


SALAM UKHWAH

Wednesday, August 3, 2011

Monday, August 1, 2011

Nasib baik le demam dan tekak aku dah OK.


Assalammualaikum semuaaaaa...!!! ( budget mcm artis..cehhhh!!! )

Selamat tinggal SYAABAN selamat datang RAMADHAN.
Alhamdulillah jumpa lagi kita bulan ramadhan tahun 1432H ni yea..... dapatlah lagi berpuasa dan menunaikan amalan sunat yang lain.
Mudah-mudahan kita di panjangkan umur dan dapat lak bertemu bulan SYAWAL yang akan menjelang nanti.

Beberapa hari ni memang aku langsung tak berkesempatan untuk mengintai blog sendiri dan blog kawan2 blogger yg lain.
Komen-komen ENTRY yg hari tu pun baru pagi ni aku lepaskan.
Sejak dari malam Jumaat hari tu aku dah demam selepas makan KFC  waktu berbuka tu.
Menjelang pagi jumaat tu panas badan aku semakin tinggi di ikuti dengan tekak yg perit.
Pagi tu Hubby bawak jumpa doktor dan aku di nasihatkan agar sembuh sebelum puasa.... jadi kenalah aku habiskan ubat yg di bagi kat doktor tu.

Alhamdulillah sejak semalam badan aku dah semakin ringan dan hari ni tekak aku semakin baik.
Kalau tidak azab jugak aku nak mengadap sakit tekak di bulan puasa ni..... dahlah tak boleh minum tekak lak perit lagilah bertambah sakit dan tak selesa.

Aku dah beritahu hubby dan anak-anak aku bulan puasa tahun ni aku akan lebihkan juadah yg berasaskan sayur dan sup.
Buah-buahan wajib ada di meja makan dan di makan.
Makanan yg  berminyak akan di kurangkan atau di elakkan.
Lebihkan minum air putih pasal cuaca sekarang panas lagipun kita cuma boleh minum waktu malam je .

Harap-harap tahun ni keluarga aku tak adalah yg akan jatuh sakit sewaktu berpuasa terutamanya akulah.
Kang kalau aku sakit aku jugak yg susah pasal bab ke dapur memang tak ada MC langsung untuk aku.


CN : Selamat berpuasa dan berbuka buat korang.... ehhh ehh dah fikir ke menu apa nak di hidangkan petang ni ? :)


SALAM UKHWAH

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails