Sebelum keluar tu klik2 lah iklan ni dulu ya !!

Tuesday, June 29, 2010

Di Satu Petang yg kelam.


Petang ni sewaktu nak balik ke rumah langit kelihatan sangat gelap dan hitam, permandangan di luar tingkap kaca office aku macam dah pukul 8.00 malam. Dari dalam kelihatan rintik-rintik hujan diikuti dengan angin yang bertiup kencang. Tidak beberapa lama kemudian hujan mula turun dengan lebat dan pemandangan di luar tak ubah seperti malam yg gelap gelita.

Tiba-tiba aku terasa seram sejuk takut pun ada, mula mengigati hari ini hari apa?




Oohh...hari selasa..bukan Jumaat...ya aku seakan dapat membayangkan keadaan "kiamat"  seperti ini nanti apabila sangkakala di tiup ke dunia ini. Mulalah fikiran aku merepek-repek ke tempat lain...kalau betul kiamat hari ini dimana anak-anak aku nanti...bagaimana keadaan mereka dalam suasana hiruk pikuk ketakutan...pasti mereka tercari-cari kemana dan apa nasib umminya ini.

Begitu jauh fikiran melayang...hati seorang ibu apapun terjadi anak dahulu yang kita cari kalau boleh biar ketika itu nanti mereka berada dalam pelukkan kita bukannya berjauhan berpuluh-puluh kilometer dari kita dan tak tahu untung nasib masing-masing.

Perlahan-lahan cuaca berubah terang walaupun hujan masih lagi lebat ketika aku melangkahkan kaki ke kereta. Aku bersyukur masih ada kesempatan bertemu putera puteri ku lagi!.

Malam ini suasana masih dingin dengan hujan renyai-renyai di luar, sambil jari jemariku menari rancak di atas keyboard aku mendengar lagu-lagu irama syahdu dari Blog aku sendiri!

CN : Kadang-kadang bersendirian itu lebih baik dan menghiburkan....!!


Salam Ukhwah:

Monday, June 28, 2010

Taniah buat adik !

Memohon restu ayah dan bonda.

SALAM kepada semua....hari ini aku kembali berblog setelah sunyi sementara waktu kerana sibuk dengan urusan perkahwinan adik perempuan ku....ALHAMDULILLAH majlis berjalan lancar  dengan kehadiran tetamu dan saudara mara jauh dan dekat. Tapi sayangnya aku tak sempat beramah mesra dengan kesemua saudara dan kawan-kawan yang hadir kerana terlalu sibuk dengan persiapan hidangan meja beradap pengantin.

       Semoga kemesraan terjalin erat ke hujung nyawa.                    

Segala kepenatan dan kehilangan waktu bersantai terbalas jua dengan kehadiran tetamu-tetamu yg sudi hadir. Sebagai manusia biasa kita tak pernah terlepas dari kesilapan samaada majlis itu besar atau kecil sudah pasti tak dapat memenuhi kehendak setiap orang, Sebagai tuan rumah aku memohon jutaan maaf kepada semua sekiranya layanan dan hidangan yang di jamukan tidak memuaskan hati.


CN : Semoga jodoh ZIERA dan AYEN berkekalan ke hujung nyawa.

Salam Ukhwah:

Thursday, June 24, 2010

Bunga Telur.



Dua tahun yang  tahun lepas sewaktu majlis perkahwinan adik lelaki aku, ada seorang sepupu kami berjanji nak sedekahkan telur sebanyak 60 biji untuk bunga pahar di pelamin (bunga telur yg diletakkan di kiri kanan pelamin mengiringi pengantin). Tetapi apabila tiba masanya tak ada sebiji telur pun di hantarnya, mungkin juga dia terlupa!.

Dalam kesibukkan itu jugak adik lelaki aku terpaksa berkejar ke pekan kuala klawang yang jauhnya 7 kilometer dari rumah kami untuk membeli telur. Tengah-tengah malam kami adik beradik terpaksa merebus dan membungkus telur-telur tersebut untuk digunakan keesokkan harinya sewaktu majlis berlangsung, semuanya gara-gara janji yang tak ditepati nasib baik 60 biji je!!.

Pada kali ini awal-awal lagi beratus-ratus biji telur telah di sediakan termasuklah telur untuk diberi kepada tetamu dan bunga pahar di pelamin nanti.

Pada majlis yang sama juga kami terpaksa menghampakan hajat Abah yang nak bagi bunga telur kepada semua tetamu-tetamunya seperti kebiasaan tetapi kerana kesuntukkan waktu dan tiada kakitangan untuk membungkus telur-telur tersebut hajat itu terpaksa di lupakan. Abah tetap melahirkan perasaan terkilannya kepada aku...perasaan orang tua!

Kali ini hajat itu akan tertunai dan semua rakan-rakan dan saudara mara kami akan mendapat bunga-bunga telur seperti dua majlis yang sebelumnya.

 CN : ...Sekurang-kurangnya Abah berpuas hati!


Salam Ukhwah:

Dah gian pulak dah!!



Beberapa bulan lepas sewaktu mula-mula berblog langsung tak tahu apa nak tulis atau nak cerita apa dalam blog...betul-betul ketandusan idea. Itu pasallah blog aku dulu selalu je tak update . Tapi hari ni sejak aku mengenali beberapa blogger-blogger yang dah berpengalaman berblog dan ada pulak yang tak lokek ilmu aku mula bersemangat. Hari-hari ada je idea yang nak tulis sampaikan satu hari tak tulis blog ni aku rasa macam ada je yang tak kena.

Haa..sekarang dah gian pulak berblog dan jarang pulak buka facebook dan berkebun dalam tu.

Apa-apa pun apa yang aku tulis adalah untuk kebaikkan bersama segala apa yang aku tahu  akan dikongsikan di sini.


CN : eeemm....tengah fikir nak tulis apa untuk esok,lusa dan tulat!.


Salam Ukhwah:

Tuesday, June 22, 2010

GOODIE BAG - kenapa perlu memilih-milih?



Zaman sekarang setiap kali menghadiri majlis-majlis keraian seperti Perkahwinan,Cukur Jambul ataupun Berkhatan pasti ada Goodie Bag yang akan di beri kepada tetamu oleh tuan rumah. Berbagai-bagai warna dan rupa bentuk Goodie Bag serta cenderahati yang dimasukkan kedalamnya mengikut citarasa tuan rumah.

Dah jadi satu trend masa kini!.

Apa yang aku peliknya ada sesetengah mereka hanya menyediakan Goodie Bag untuk sesetengah tetamu yang di anggapnya istimewa sahaja sedangkan yang lain tak dapat apa-apa ataupun ada perbezaan Goodie Bagnya.

Contohnya si A akan dapat Goodie Bag kertas yang cantik dan mahal sedangkan si B hanya dapat Goodie Bag plastik yang di kira agak murah harganya berbanding si A. Ada pulak separuh tetamu dapat Goodie Bag siap dengan bunga telur sedangkan sesetengah yang lain hanya dapat sebiji telur rebus yang di isi ke dalam kotak DAN ada pula yg tak dapat apa-apa pun dari tuan rumah sedangkan ada tetamu yang dapat "Goodie Bag Special". Kenapa perlu begitu??

Bagi AKU setiap tetamu yang meluangkan masa menghadiri majlis kita itu SANGAT istimewa sebab mereka sangup datang dari jauh atau dekat untuk memeriahkan lagi majlis kita, tak perlu ada pilih kasih. Beri mereka cenderahati itu sama rata tak kira ia kawan rapat,saudara rapat,jiran biasa ataupun sesiapa sahaja setidak-tidaknya tak ada yang akan berkecil hati . Kalau Cik kiah dapat beg kertas Cik Temah pun mesti dapat beg kertas jugak bukannya seperti Pak Abu dapat beg kertas tapi Pak Ali cuma dapat telur sebiji!!.

Ini bukan masalah terlepas pandang maklumlah sibuk dengan tetamu yang ramai-ramai, tapi penyediaan  awal di pihak Tuan Rumah perlu berlaku adil untuk semua orang, maksudnya kalau jemputan 800 orang mereka semua perlu sediakan beg kertas/plastik yang sama bukannya berbeza-beza.

Ini cuma pendapat peribadi aku yang aku rasa mesti ada yang pernah berkecil hati dengan situasi yang berlaku sekarang ini,Sebab itu dari awal lagi aku dah ingatkan adik aku untuk membeli 900 Goodie Bag buat semua tetamu kami tak kira yang kaya atau miskin,tua atau muda,jauh atau dekat kecuali kanak-kanak saja yang akan mendapat cenderahati yg lain.



Sebahagian dari 900 Goodie Bag dan bunga telur yang telah siap di sediakan.


CN : Bukan senang nak puaskan hati semua orang!!!.

Salam Ukhwah;

Sunday, June 20, 2010

Selamat Hari Bapa.


Warga emas ini pernah bersusah payah dahulu,membanting tulang empat keratnya ,berhujan dan berpanas untuk menyara hidupnya bersama isteri dan 7 orang anak-anaknya. Beliau pernah berulang alik berpuluh-puluh kilometer selama bertahun-tahun dari Kg Ulu Klawang,Jelebu merentasi bukit Lenggeng dan Beranang terus ke Puchong untuk sampai ke kem Kinrara, Hanya dengan menaiki motosikal dalam dinihari yang dingin sewaktu insan-insan lain sedang enak di buai mimpi. Panas atau hujan hanya motosikal itulah kenderaan utamanya untuk kemana-mana kerana tak pernah mempunyai lesen D dan tak mampu memiliki kereta.

Hidupnya serba kekurangan hanya sebagai penjawat awam yang memiliki pendapatan kurang dari $500.00 sebulan, Tetapi mampu menghantar anak-anaknya hingga kesekolah menengah dan berjaya menjejaki kaki  ke menara gading, Beliau tak pernah berkasar apalagi memukul anak-anaknya tapi sering menasihatkan agar rajin belajar  supaya mempunyai kehidupan yang lebih selesa darinya. Beliau amat berharap agar dapat menumpang kesenangan anak-anaknya satu hari nanti.

Hari ini ke semua 7 orang anak-anaknya menjadi "ORANG" mempunyai kerjaya tetap dan mampu memiliki rumah dan kenderaan sendiri tanpa perlu menyusahkan hidupnya di usia senja ini.

Malah tercapai impiannya untuk membawa isteri kesayangannya menjejaki kaki ke Baitullah dan menjadi tetamu ALLAH hasil duit titik peluhnya sendiri.

Kini sewaktu melewati sisa-sisa usia yang masih berbaki dan menghampiri 70an dia mampu tersenyum kerana setiap hari di kelilingi anak-anak, menantu dan cucu-cucunya yang sentiasa ada di sisinya sewaktu sakit atau sihat,susah atau senangnya.Dia amat berbangga kerana hari ini berkat kesabarannya yang bergaji kecil dahulu dia berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai BAPA MITHALI !!

Itulah dia Abah kami 7 adik-beradik.

SELAMAT HARI BAPA BUAT ABAH TERSAYANG HJ MOHD ARIS BIN SIDIN,TERIMA KASIH DENGAN SUSAH PAYAHMU DULU MEMBESARKAN KAMI 7 BERADIK HINGGA KAMI BERJAYA MENCAPAI CITA-CITA KAMI.

CN: Tak pernah lupa dengan lagu "Rasa sayang eh Rasa sayang" nyanyiannya sewaktu kecil dulu.

Salam Ukhwah:

Hidangan Meja Beradap.


              Gambar ihsan dari cik Google


Dulu-dulu sewaktu kecil aku suka sangat tengok makanan yang terhidang di meja pengantin.Ada bermacam-macam gaya dan rupa bentuk, ada yang tegak,condong,tercucuk dan terlentang malah sayur-sayuran dan buah-buahan kaku yang tak terfikir oleh aku boleh berubah bentuk menjadi hiasan yang paling menarik.


Apa yang buat aku kagum sangat ialah kreativiti si pencipta hidangan itu, Sebiji buah nenas boleh jadi seperti seekor itik yang cantik, Ayam yang dah dimasak boleh siap terduduk cantik di atas pinggan dengan hiasan siap dengan bulu-bulu tiruan sekali.

Buah tembikai pula dipotong dan di gubah seperti sebuah bakul yang mana didalamnya dimasukkan pula buah-buahan kecil yang lain, Lada merah di hiris cantik bagaikan sekuntum bunga yang mekar di taman larangan begitu juga dengan timun,tomato,sengkuang dan macam-macam lagi yang berubah bentuk dan rupa apabila terhidang di meja beradap si Raja Sehari.Aku cukup terpegun dengan kreativiti mereka malah meja itu pasti jadi tumpuan aku setiap kali ke majlis kenduri kahwin. Terdetik di hati suatu hari nanti aku ingin jadi seperti mereka menghiaskan meja makan Raja Sehari .

Hari ini....tugas itu mula teralas di atas bahu aku. Bukan untuk orang lain tapi untuk adik-beradik sendiri.Sejak adik kedua aku,ketiga dan yang akan datang ini aku telah ditugaskan oleh EMAK untuk buat kerja-kerja ini.Barulah aku tahu betapa susahnya nak mencari idea untuk buat benda-benda yang remeh temeh ni.

Sekarang aku tengah fikir gaya dan hiasan apa yang sesuai untuk majlis kali ini, mungkinkah sama seperti dua majlis yang sebelum ni atau aku akan buat gaya yang lain pulak?

 C/N : Aku pulak yang lebih berdebar dari si pengantin!!


Salam Ukhwah

Saturday, June 19, 2010

Bacalah surah Yassin.

Salam Jumaat kepada semua,

RASULULLAH s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan", iaitu:

1. Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.

2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.

3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.

4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.

5. Jika terpenjara akan dibebaskan.

6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.

7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.

8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.

9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.

10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.

11. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yassin. Sesiapa membaca surah Yassin,nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.

12. Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya".

13. Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.

14. Rasulullah s.a.w bersabda selanjutnya: "Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi
kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya .


Salam Ukhwah:
 

Friday, June 18, 2010

Duit Besar vs Duit Kecil.



Pagi ni seperti kebiasaan dalam perjalanan ke pejabat aku akan singgah di gerai kegemaran aku untuk membeli kuih, Pada masa yang sama ada seorang perempuan ni pun beli kuih jugak untuk bekalan ke tempat kerjanya. Pagi-pagi ni memang ramai yang akan singgah ke gerai kakak ni untuk beli kuih atau pun mee atau nasi lemak,barangkali cara dia menarik pelangan dengan saiz kuih yang agak 'tembam' dan harga yang masih seringgit untuk 3 keping kuih berbanding gerai-gerai yang lain,Nasi lemak dia jugak banyak kiranya berbaloilah kalau membeli dengannya.

Alkisahnya perempuan yang datang sama aku tadi cuma beli beberapa keping kuih yang aku rasa harganya kurang 5 ringgit tapi
bayar dengan duit 50 ringgit!...Mak ooiii...manalah kakak tu nak cekau duit kecik pagi-pagi ni bukannya 10 ringgit tapi 50 ringgit!!.

Si perempuan ni pun berlarilah ke kereta bertanya kat kawan yang menunggunya ada duit kecil ke tak jawapannya..TAK ADA.

Nak tak nak kakak empunya gerai kuih ni terpaksalah cakap "kau bayar esok ajelah,akak tak cukup duit kecik nak bagi balik kat kau!"
samaada ikhlas atau tidak terpaksa dia bagi jawapan macam tu takkan nak di ambil balik kui-kuih yang dah ada dalam tangan pembeli!

Kalau perempuan tu tak datang pagi esok untuk bayar duit kuih tu kakak tu dah rugi tapi inilah dia lumrah kehidupan kalau berniaga kecil atau besar risiko rugi tetap juga ada , hati customer lagilah kena jaga.

Moralnya sebelum membeli tu siap-siapkan lah dulu wang kecilnya tak adalah kita makan tapi berhutang!!

P/s: Ingatan untuk diri sendiri jugak!

Salam ukhwah:

Thursday, June 17, 2010

KRISIS GULA!


Gula oh gula!!

Ke mana pergi semua orang sibuk mencari gula, kalau di bandar-bandar besar ada pasaraya jadi banyaklah bekalan gula walaupun cuma boleh beli 2 ke 3 kilo seorang tetapi di pekan-pekan kecil atau kawasan kampung hanya dapat 1kg seorang kalau tak bernasib baik langsung tak dapat gula.

Bagi mereka-mereka yang akan melangsungkan majlis perkahwinan atau apa-apa majlis besar-besar yang memerlukan berkilo-kila gula memang menjadi satu masalah besar dengan krisis gula sekarang ni, termasuklah keluarga aku yang akan melangsungkan majlis perkahwinan adik perempuan aku minggu hadapan .

Sejak hari Isnin hari itu aku dah mula berulang ke pasaraya GIANT di hadapan rumah aku untuk membeli gula itupun hanya dapat 2kg sekali beli,dalam hati terfikir juga, "sempat ke aku dapatkan berpuluh-puluh kilo gula dalam masa kurang 2 minggu?"

Benarlah seperti yang telah dijanjikan, ALLAH itu tak akan membiarkan hambanya keseorangan dalam kesusahan,tak kiralah samaada kita berdoa secara menadah tangan atau tidak sekiranya telah terdetik di hati pasti akan diperkenankan samaada lambat atau cepat tapi DIA maha mendengar dan mengetahui apa sahaja yang terlintas di hati hamba-hambanya.

  Kurang 24 jam aku dapat bekalan gula sebanyak 40kg!!...ALHAMDULILLAH  sudah lebih dari mencukupi,Begitu mudah pertolongan itu sampai kepada aku, malah lebih dari apa yang aku minta.

Selesai sudah satu masalah!

Salam ukhwah







Saturday, June 12, 2010

Jadi Drebar!!

    Assalammualaikum!,

        Haa....di hari baik waktu yang baik..ari ni aku jadi drebar tak bergaji kepada Hj Aris dan Hjh Radiah (Itu mak/abah aku lee...), Tolong hantarkan ke duanya ke rumah Pak ngah aku di Juasseh,K.Pilah untuk menjemput ke kenduri perkahwinan adik perempuan aku 2 minggu lagi. Al maklumlah pak Ngah aku tu abang sulung mak aku jadi tak manislah kalau jemput dalam telefon ajekan, lebih-lebih lagi dalam bab mendirikan "masjid" ni kenalah berbudi bahasa LEBIH sikit. 

     Tapi sayangnya aku terlupa pulak nak bawa kamera Cap ayam aku tu kalau tak boleh gak showkan kat sini,bukan niat untuk bermegah tapi dengan gambar kita boleh nampak dengan jelas apa yang berlaku.

      Satu lagi Pak Ngah aku ni taukey Nursery bunga kat Juasseh tu...haa paham-paham ajelah kan banyak le bunga-bunga yang sedang kembang mekar kat rumah dia waktu ni,  nak nak pulak bunga orkid  tengok pun dah nak luluh iman teramatlah cantiknya . Almaklumlah bak kata mak aku sentiasa berbaja dan di belai gitulah cara orang berniaga.(lain kali datang aku ambil gambar rumah dan pokok bunganya ye!)  

      Sekarang ni aku satu keluarga dah mula sibuk menjemput orang untuk majlis perkahwinan tu nanti, aku nak cepat selesaikan kenduri tu sebab dah terasa dah penatnya ke hulu hilir,pikir itu ini macam aku lak yang nak nikah. Selepas kenduri ni selesai boleh rehatkan minda dan badan sepuas-puasnya!!


P/s: Waktu aku nikah dulu adik-adik aku masih kecil lagi sekarang seorang demi seorang dah nak dirikan  masjid...cepatnya masa berlalu...!!!

Salam ukhwah:

Berbaktilah kepada ibubapa hingga ke hujung nyawanya.



Salam Jumaat,

Cerita dibawah menjadi IBRAH bagi kita semua. Cerita ini juga kiriman email dari rakan sekolah aku dulu ,Terima kasih YANTIE kerana menghantarkannya dan halalkan untuk bacaan mereka- mereka di luar sana...bukankah ilmu patut di sebar-sebarkan?

Apa yang paling utama dalam memberikan khidmat terakhir kpd ibu ayah ialah MEMANDIKAN JENAZAHNYA, MENGKAPANKAN TUBUH MULIANYA, MENYEMBAHYANGKAN JENAZAH NYA DAN MENGKEBUMIKAN JENAZAHNYA. Lakukan dengan tangan2 kita sebagai anak2. Lakukan sahabat, lakukannya jika ditakdirkan ibu ayah kita meninggal dunia.


Saya menangis apabila ada sahabat saya menceritakan bagaimana ibu kepada Tuan Guru Dr Harun Din meninggal dunia. Bacalah sahabat pengalaman Dr Harun Din dan keluarganya.

Jiran kpd ibu Dr Harun Din (DrHD) menziarah ibunya pada waktu petang selepas asar. beliau memberi salam tetapi tak menyahut salamnya.

Beberapa kali salam diberikan tapi tak ada jawapan. Maka jirannya itu mencari ruang mencari ibu DrHD, akhirnya terlihat ibunya sedang sujud dalam solat. lalu jiran ini balik ke rumah dahulu. beberapa minit kemudian, datang semula berjumpa ibu DRHD, dilihatnya masih sujud. firasat jirannya, ini ada yang tak kena. Lalu masuk ke rumah utk melihat dr dekat ibu DrHD. Rupa2nya, ibu DrHD telah kembali ke rahmatullah dalam masa ibunya sujud menghadap Allah. Ya Allah mulianya kematian ibu DrHD.


Perkara yg paling comel yg dilakukan keluarga DrHD ialah, menyempurnakan dgn tangan2 anak2 jenazah ibunya. Mandikan ibu, kapan ibu, sembahyangkan ibu dan kebumikan tanpa diusik orang lain ke atas tubuh ibunya. Ada jiran2 yg ingin melakukannya tetapi ditolak oleh Dr Harun Din, hasan Din dan Ishak Din dengan hujjah,

 "BERILAH SAYA SEKELUARGA PELUANG MEMBUAT KHIDMAT YG TERAKHIR UTK IBU".

Ketika hujah itu diberikan, seluruh masyarakat yg hadir melinangkan air mata kerana tawaaduk dan alimnya anak2 ibu itu. Paling menyayatkan hati masyarakat adalah apabila ketiga2 adik beradik ini iaitu Harun Din, Hasan Din dan Ishak Din turun sendiri ke lubang lahad mengebumikan jenazah ibunya. Ada beberapa orang yg hadir, memohon dan berkata,"Wahai Tuan Guru, biarlah kami buat semuanya ini menurunkan jenazah ibu Tuan Guru." Permintaan ini ditolak oleh DrHD dgn hujah yg sama "Berilah kami adik beradik peluang mengebumikan jenazah ibu ini kali terakhir". Seluruh yg hadir di kuburan ketika itu, mencurahkan airmata tawadduk di atas akhlak anak2 ibu yang diasuh hingga se"alim" sedemikian. Peristiwa ini disempurnakan hingga selesai.

      HEBAT IBU ini membina akhlak dan keilmuan anak-anak mereka, maka tidak hairanlah kita semua bahawa DrHD , hasan Din dan Ishak Din memang disegani oelh kawan dan lawan di Bumi Malaysia ini kerana "AKHLAK"nya yang mulia dan ALIM nya mereka.

Terus terang sahabat, ketika saya mendengar cerita ini, air mata saya melinang apabila tergambar ketika saya dan 11 orang adik beradik menguruskan jenazah ayah bersama Ogos 2009 yang lalu. Ya Allah, rahmatilah ibu kami semua. Rahmatilah mereka dan Ampunkanlah kami.

Wallahu A'lam.

Baca hayati, selami dan insafi...... Amalkan, doa ibu bapa amat mustajab... Bahagia dunia akhirat...

P/s: Semoga kita semua berpeluang untuk berbakti kepada Ibubapa kita, jika tidak berkesempatan sewaktu hayatnya bantulah mereka dengan doa-doa kita yang ikhlas kerana doa anak Soleh itu pelindung mereka di alam barzakh.

Salam Ukhwah:





Monday, June 7, 2010

Hari jadi adik dan Berkhatan...

Tanggal 6 june 10..genaplah umur anak aku Redza Akmal sembilan tahun tetapi tahun ini aku tak buat majlis hari jadi dan kek seperti kebiasaan tapi aku gantikan dengan kenduri doa selamat dan hadiahnya tahun ini ialah...Berkhatan!



Muka dia kecut semacam bila nampak orang yang akan menguruskannya datang kerumah(sebenarnya aku lebih lagi berdebar-debar).
Tapi aku lebih rasa lega sebab dah laksanakan tangungjawab sebagai seorang ibu .

Hujung bulan ni pula aku akan buat majlis khatam Al-quran untuk si kakak pulak, hajat ni dah tertangguh beberapa kali sejak ia khatam Al-quran darjah 5 dulu, aku harap kali ni tak ada lagi halangannya kerana majlis ini akan berlangsung dengan majlis pernikahan adik perempuan aku sekali nanti.walaupun hajat sebenarnya nak buat sekali berkhatam dan khatan hari ini tapi kerana sebab-sebab yang tak dapat di elakkan terpaksa buat yang ini dulu sebab cuti sekolah.


Aku ucapkan berbanyak terima kasih kepada yang sudi membantu majlis kenduri semalam dan kepada Pak cik aku bekas Imam masjid Amar Penghulu,Ulu klawang Tuan Hj Rashid Mahmud yang sudi menemankan dan menenangkan anak aku dengan zikir dan selawat.Jasa-jasa kalian tetap ku ingati!!!


P/s:Andai budi tak sempat di balas di dunia ini tetap ada pembalasannya di Akhirat nanti.Allah nampak dan tahu apa yang kita lakukan dengan niat yang ikhlas!.

Salam Ukhwah:

Sunday, June 6, 2010

Sibuk..sibuk..sibuk..!!!

Hari ni aku sibuk lagi...TERamat sibuk..sebab malam ni aku nak buat kenduri berkhatan untuk anak lelaki tunggal aku dan kenduri masuk rumah baru untuk adik aku(Napi). Kami akan panggil orang-orang masjid untuk majlis tahlil,doa selamat serta marhaban atas permintaan abah aku.

Menu untuk malam ni adalah...Ayam masak lemak cili api (orang nogoghi mana leh tinggal menu ni kan?), Rendang ayam kampung (seekor ayam abah terlepas...nasib kau lah ayaamm),sayur tauge kasar(ni kegemaran My Hubby),sambal petai tapi letak cili api(Hambik ko..semua cili api) dan pencuci mulut adalah watermelon atau melayu panggil buah tembikai (ini pilihan kedua selepas pisang EMAS tak dapat di cari oleh adik aku...ko dah fail dengan suruhan aku wahai En Napi!)




Anak dara tunggal aku ni pun nak posing gak dengan cik tauge dia!.



2 menu yg sempat diambil gambar sebelum selesai masuk peyut...yg lain dh licin licau daa....!!



Rumah baru adik aku.

Kerana terlalu sibuk dan keletihan terlupa pulak nak ambil gambar lauk-lauk yang dah terhidang dan tetamu yang datang...dah selesai kenduri baru teringat...haaaiii   dah tua aku ni ingatan pun dah tak bagus lepas ni nak makan kismis dengan madu banyak-banyak aku tak nak nyanyuk sebelum waktunya...huhuhu!!!


P/s:Benarlah kata bijak pandai "kita hanya mampu merancang tuhan menentukan" bukan semua yang kita rancang tu akan menjadi kenyataan.

Salam Ukhwah:

Saturday, June 5, 2010

" Nota Hati Seorang Lelaki "


Selamat hari Jumaat hari penghulu hari!!,

Aku dapat cerita ni dari seorang kawan yang menghantar ke peti Email aku, jadi aku nak kongsikan cerita ni kepada semua pengunjung blog aku ni semoga memberi pengajaran dan kesedaran!.


Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah kisahnya... Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.

"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya. Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit.
Geli hati mengenangkannya.


Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah). Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan  memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.


Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!.

Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.

Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tah apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama ...

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan.

Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."


Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?

Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga?

Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!


P/s: Setiap kebaikkan yg kita lakukan pasti akan di balas baik juga kalau bukan kepada kita kepada keluarga kita nanti..INSYAALLAH!


Salam Ukhwah:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails