SAYA baru berkahwin tiga bulan lalu. Suatu hari suami mengetahui yang saya pernah curang ketika kami bertunang dulu dan dia meletakkan taklik dengan menyebut: “Kalau awak curang, saya ceraikan awak”.
Tetapi curang yang dimaksudkan suami adalah jika saya ada perasaan atau berbalas pesanan SMS cinta dengan orang lain atau dengan perbuatan seperti berpelukan dan sebagainya.
Adakah taklik itu berpandukan kepada maksud curang suami atau apa yang disebut dalam taklik itu? Apakah maksud curang menurut hukum syarak?
INSAN GELISAH
Johor
MENGIKUT Kamus Dewan (2005:297) curang bermaksud ‘tidak jujur, tidak lurus (tulus) hati’. Ia juga bererti ‘tidak setia (khianat) kepada suami (isteri, tunangan dan sebagainya) dengan menjalin hubungan cinta dan sebagainya dengan orang lain’.
Dalam pertanyaan anda di atas, curang yang dimaksudkan suami adalah apabila isteri menduakan suaminya termasuk bercinta, berasmara dan melakukan hubungan seksual dengan lelaki lain.
Perbuatan isteri itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak.
Sekiranya isteri yang terbabit dalam hal berkenaan dia sebenarnya sudah merosakkan rumah tangganya.
Isteri hendaklah bertanggungjawab menjaga kehormatan diri dan keluarga dan taat kepada perintah suami, malah setiap perkara yang dilakukan hendaklah mendapat izin suami.
Al-Quran meletakkan bahawa lelaki adalah pemimpin kepada wanita. Dalam konteks ini, suami adalah pemimpin kepada isteri dan keluarga.
Allah berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu adalah sendiriyang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah....”
Seterusnya pada ayat sama, Allah menyebut tata cara memperbaiki penyelewengan di kalangan isteri dengan firman-Nya: “...Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
Dalam konteks keluarga Islam, suami mesti bertindak bijak mengurus rumah tangganya. Suami tidak perlu cepat menggunakan kuasa cerai yang ada pada dirinya.
Mereka (suami) hendaklah bertindak seperti yang disarankan al-Quran di atas.
Sikap cepat menjatuhkan talak kepada isteri tanpa usul periksa dan tindakan yang tidak berhemah adalah salah dan tidak adil.
SUMBER : My metro (soal jawab bersama Dr Salam )
SALAM UKHWAH
No comments:
Post a Comment